Monday, April 13, 2009

-agama- reNUngaN BersAMA

-SUMBER DARI BERITA HARIAN-
Rahmat, musibah diturunkan Allah patut jadi medan umat muhasabah diri setiap saat
SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit, miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat dirasai. Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit." (Surah Al-An'am, ayat 125) Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah, takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka beringat? Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah mereka bahagia? Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan. Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah puas, hampa dan kosong.
Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya. Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa kuasa yang boleh menolongnya selain Allah. Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah. Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah. Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?
Kata-kata pendeta Bani Israil dalam kitab Ibnul Qayyim Al-Jauzi, 'Shaydul Khatir': "Oh Tuhanku, aku sering berbuat maksiat tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpaku? Dikatakan kepadanya: Betapa banyaknya azab Allah menimpamu, tetapi engkau tidak tahu bahawa itulah azab Allah. Tidakkah engkau merasa dihalang dirimu merasai kenikmatan bermunajat kepada-Nya?" Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama suci dalam debu. Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati. Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia. Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah. Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup tiada campur tangan Allah. Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain. Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir. Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta." (Surah al-Baqarah, ayat 17) Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia? Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu mereka pula semakin tersesat. Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri yang selalu tertipu sebelum azab datang? Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan keluarga, kedudukan serta kuasa. Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia. Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih. Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang mengambil kesempatan dan menikam dari belakang. Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat. Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah. Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya makan kotoran tetapi pandai bersyukur. Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur. Syukur bermakna berhias dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala. Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu kufur sungguh azab-Ku amat pedih."

Zikir penawar paling mujarab ubati penyakit hati
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Mengingati Allah memperkuat emosi, jiwa manusia bagi hadapi rintangan hidup MANUSIA tidak terlepas daripada ujian dan dugaan hidup untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka. Dugaan yang datang juga peluang untuk bertanya diri adakah kita seorang yang sabar atau sebaliknya. Keupayaan manusia sebagai khalifah memerlukan beberapa kekuatan antaranya kuat emosi dan jiwa sebagai faktor penting meneruskan tanggungjawab memakmurkan alam. Kekuatan dalaman juga penting sebagai benteng pertahanan kukuh dalam menghadapi rintangan hidup. Allah memberi jaminan beruntungnya manusia yang menjaga dan menyucikan hati serta rugi mereka yang mengotorinya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Surah al-Syams, ayat 9-10) Dalam dunia semakin maju, hidup manusia pasti menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Ujian ada kalanya membuat seseorang mudah tewas dan mengalah lantaran jiwa yang lemah. Kemewahan, kesusahan dan kesedihan juga ujian. Justeru, Islam mengatur kehidupan manusia dengan kaedah yang patut diamalkan dalam menghadapi ujian hidup. Berzikir mengingati Allah adalah alternatif ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala kekalutan serta sifat mazmumah. Mengingati Allah ialah dengan mengagungkan-Nya, mengucap tasbih, tahmid dan takbir. Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi kriteria dan ciri zikrullah sebenar.
Zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri. Ini terbukti melalui firman Allah bermaksud: "Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati-hati manusia." (Surah al-Ra'd, ayat 28) Sesungguhnya zikir boleh dilakukan sama ada bersendirian atau berjemaah, melalui lisan atau dengan hati. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar menyatakan zikir lisan atau hati paling afdal. Zikir lisan ialah menyebut nama Allah berulang kali, menyebut sifat-Nya atau melafazkan puji kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah dalam diri dan jiwa sehingga hati sentiasa sibuk dengan mengingati Allah. Seseorang yang lidahnya sentiasa basah mengingati Allah mendapat manfaat antaranya:
Membersihkan hati daripada sifat mazmumah.
Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah.
Berasa dekatnya diri dengan Allah sehingga apabila berdepan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah.
Meningkatkan mutu amalan kepada Allah.
Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah.
Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah, keluh kesah dan tidak tenteram. Menghadiri majlis ilmu sama ada kuliah, ceramah, seminar atau bengkel termasuk dalam zikrullah, malah disifatkan Rasulullah sebagai satu daripada taman syurga. Baginda bersabda diriwayatkan Ibnu Umar yang bermaksud "Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah taman syurga wahai Rasulullah? Baginda menjawab, ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka." Ulama membuat perumpamaan bahawa malaikat mencari majlis ilmu seperti seseorang melihat bintang berkelip di langit pada waktu malam. Betapa indahnya melihat bintang bersinar, begitulah keindahan majlis ilmu di sisi malaikat. Di samping itu, mengerjakan solat termasuk dalam zikrullah seperti dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: "Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Surah Toha, ayat 14) Inilah zikir paling afdal mesti menghiasi diri individu yang mengaku kasih dan cintakan Allah. Seseorang yang istiqamah mengerjakan solat paling hampir dengan Allah. Sesiapa lalai mengingati Allah melalui solat, hati dan jiwanya kosong, malah mati walaupun jasadnya hidup bertenaga. Membaca al-Quran juga zikir paling mulia kerana ia adalah kalam Allah. Apabila membaca al-Quran, seseorang sebenarnya menuturkan kalam Allah dan ia gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah. Sehubungan itu, individu Muslim perlu membaca al-Quran setiap hari supaya hati tidak kosong dan pada masa sama mengingati Allah. Apabila menghadapi kesulitan, zikrullah adalah alternatif menyelesaikan segala masalah. Inilah sebenarnya kekuatan dalaman atau faktor utama keteguhan emosi dalam mengharungi segala pancaroba hidup. Semoga hati menjadi tenang dan segala urusan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tindakan menyalahkan takdir atau meletakkan kesalahan kepada orang lain perlu dielakkan kerana ini bukan sifat orang beriman dan tawaduk.
Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jelebu, Negeri Sembilan

Perspektif Ikim: Hanya ilmu mampu tangani kemiskinan umat, negara Islam
Oleh Azrina Sobian

KEMISKINAN ditakrifkan sebagai paras kesejahteraan di bawah keperluan minimum isi rumah dari segi pemakanan, pakaian, kesihatan dan keperluan asas lain. Kemiskinan tegar tidak boleh atau sukar diubah meliputi semua keperluan hidup. Kemiskinan diukur dengan membandingkan paras mutlak pendapatan isi rumah dengan pendapatan diperlukan bagi perbelanjaan minimum atau apa yang mungkin diistilahkan sebagai pendapatan garis kemiskinan. Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha bagi mengelakkan kemiskinan tegar. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, hingga mereka mengubah nasib (perbuatannya) sendiri." (Surah ar Raad, ayat 12) Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah lebih menyayangi orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis riwayat Muslim) Kemiskinan, menurut Program Makanan Sedunia (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), setiap 3.5 saat seorang penduduk dunia mati atau 24,685 orang setiap hari akibat kelaparan. Anehnya dan menyedihkan kebanyakan mereka adalah masyarakat Islam. Statistik itu membuktikan kemiskinan masih membelenggu umat Islam di seluruh dunia yang masih tercicir dalam pelajaran, kesihatan dan pemakanan. Masalah kelaparan dan kebuluran berkait rapat dengan kemiskinan. Oleh itu, umat Islam digalak berkorban bagi membantu umat Islam lain yang kelaparan dan kebuluran. Setiap amal kebaikan adalah sedekah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud "Setiap kebaikan adalah sedekah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pengorbanan dan kasih sayang antara umat kaya kepada yang miskin amat penting. Semangat ukhuwah membantu mereka yang miskin dengan mengambil semangat korban. Pengorbanan dan kasih sayang ialah pencetus kepada kejayaan ummah di dunia ini. Krisis globalisasi dikatakan meninggikan ekonomi dan pertumbuhan keluaran dihasilkan petani, nelayan serta pengusaha industri kecil. Hal ini dapat mengurangkan kemiskinan di luar bandar. Namun, sesetengah ahli ekonomi menyatakan perlu ada dasar sosial yang baik untuk membantu rakyat miskin kerana kemiskinan dan taraf sosial tidak mempunyai hubung kait dengan globalisasi. Oleh itu, umat Islam mesti berusaha mempertingkat ilmu agar masalah kemiskinan dapat diatasi. Jika umat Islam mempunyai ilmu dalam bidang ekonomi, pertanian, perusahaan dan perniagaan masalah kemiskinan dapat diatasi.
Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Keadaan orang mukmin menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya, jika dia mendapat keuntungan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya, jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya." (Hadis riwayat Muslim) Justeru, umat Islam mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal menghadapi masalah kemiskinan. Imam Syafi'e menyatakan kemiskinan menyebabkan kemenangan dalam menuntut pengetahuan. Sementara itu, kemiskinan tidak patut dijadikan alasan seseorang tidak berjaya. Kemiskinan bukanlah hina, malah malas berusaha dan bekerja adalah lebih hina. Sesungguhnya, kemiskinan boleh membawa kebinasaan. Umat Islam tidak digalak berhutang yang boleh membawa kesusahan. Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan." (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia


Perihal Solat Jama’ & Qasar
Posted by: senteng in Info Agama
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.
Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.
Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.
- Hayati, Sg Besi.
Jawapan
wa’alaikumussalam
Saudari sepatutnya menjama’kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.
Berikut pula syarat untuk men”qasar”kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.
iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.
Solat jama’ pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama’ solat :-
i. Jama’ tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama’ kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)
ii. Solat jama’ boleh dilakukan dalam dua bentuk :-
Pertama : Jamak Taqdim
Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.
Syaratnya :
1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )
2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.
3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.
Kedua : Jamak Takhir
Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng”qasar”kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL
Adapun kenyataan saudari “tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian” adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

WAKTU-WAKTU YANG MUSTAJABNYA DOA
Posted by: senteng in Info Agama
Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan. Adapun waktu-waktu mustajaba tersebut antara lain ialah
(1). Sepertiga Akhir Malam
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya” . (Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)
(2). Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa
Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiyallahu ‘anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”. (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da’watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17),
(3). Setiap Selepas Shalat Fardhu
Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab.
“Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu”.(Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).
(4). Ketika Saat Perang Berkecamuk
Dari Sahl bin Sa’ad Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk”. (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa’ 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta’liq Alal Misykat 1/212 No. 672).
(5). Sesaat ketika Hari Jum’at
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum’at ada satu saat yang tidaklah bertepatanseorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut”. (Shahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)
Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.
Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum’at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib.
(6). Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada Allah
Dari ‘Amr bin ‘Anbasah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya” . (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595)
Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)Yang dimaksudkan dengan “ta’ara minal lail” terbangun dari tidur pada malam hari.
(7). Doa Di antara Adzan dan IqamahDari Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah”. (Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)
(8). Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Shalat
Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan”. (Shahih Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur’an fi Ruku’ wa Sujud 2/48)
Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.
(9). Ketika Saat Sedang Hujana
Dari Sahl bin a’ad Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
“Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan”. (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ No. 3078).
Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).
(10). Ketika Saat Ajal Tiba
Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah ‘alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau ‘alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda.
“Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akanmengikutinya’ . Semua keluarga histeria. Baginda ‘alaihi wasallam bersabda : ‘Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan”. (Shahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)
(11). Ketika Lailatul Qadar
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman.
“Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar”. (Al-Qadr : 3-5)
Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)
(12). Doa Ketika Hari Arafah
Dari ‘Amr bin Syu’aib Radhiyallahu ‘anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”. (Sunan At-Tirmidzi, babJamiud Da’waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta’liq alal Misykat 2/797 No. 2598)

p/s terimakasih kepada sumber berkenaan.

No comments:

Post a Comment